Kami pasti setiap orang ada menanam impian untuk memiliki rumah seawal yang mungkin. Kali ini kami ingin berkongsi dengan anda kesilapan yang sering dilakukan oleh mereka yang pertama kali membeli rumah.
1. Tak Tengok Kemampuan
Ada sesetengah orang yang membuat keputusan untuk membeli sesebuah rumah tanpa membuat kira-kira bajet serta kemampuan mereka untuk membuat bayaran balik pinjaman serta kos-kos lain yang datang berserta pemilikan rumah.
Biarkan pihak bank mengira dan menentukan bajet anda sesuai dengan jumlah pendapatan dan komitmen kewangan anda. Ini akan membantu anda untuk mencari rumah dengan harga yang sesuai untuk anda.
2. Pinjaman Yang Melebihi Kemampuan
Bila anda pergi untuk membuat pinjaman perumahan di bank, bank akan melihat kepada laporan kredit dan juga laporan cukai anda. Laporan inilah yang akan menentukan anda layak atau tidak layak untuk memohon pembiayaan perumahan tersebut.
Sekiranya layak, mereka mungkin akan menawarkan pinjaman yang lebih tinggi daripada yang anda perlukan. Jangan mudah terpedaya. Ambil pinjaman yang perlu sahaja. Buat apa untuk membebankan diri dengan hutang sedia ada?
3. Memandang Remeh Kos Pemilikan Rumah
Ramai orang ingat nak memiliki sebuah rumah, bayar down payment je dah settle. Tapi mereka terlupa, terdapat banyak lagi kos yang perlu ditanggung untuk mendapatkan rumah impian seperti yuran guaman, duti setem, maintenance dan sebagainya.
4. Tak Tengok Skim Perumahan Kerajaan
Sebelum membeli rumah, apa kata kalau anda check terlebih dahulu tentang skim perumahan yang disediakan oleh pihak kerajaan. Mana tahu ada yang sesuai dengan anda?
5. Tak Check Liputan Telefon dan Wifi
Kadang-kadang pembeli dah jumpa rumah yang mereka hajati. Bila berpindah masuk baru perasan, eh, phone coverage tak ada? Wifi slow? Ha, kan diri sendiri yang sakit hati. Jadi sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah tersebut, apa kata anda memandu dahulu disekitar kawasan tersebut bagi melihat liputan dikawasan itu.
6. Tidak Cuba Meluangkan Masa Di Kejiranan Tersebut
Satu lagi perkara yang sering diabaikan pembeli terutamanya yang membeli rumah subsales adalah, mereka tidak cuba meluangkan sedikit masa dikawasan kejiranan tersebut. Cuba untuk beramah mesra dengan bakal jiran, lihat suasana dikawasan tersebut pada waktu malam, lihat juga kemudahan yang ada disana seperti sekolah, LRT dan sebagainya.
Ini bagi memastikan adakah kawasan tersebut sesuai dengan cara hidup anda atau adakah ianya selamat untuk dihuni.
7. Tak Buat Pemeriksaan Rumah
Sebelum mengambil keputusan untuk membeli atau berpindah masuk ke mana-mana rumah, pastikan anda buat pemeriksaan dahulu ke atas rumah tersebut. Lihat sama ada terdapat wiring yang bermasalah, tombol atau tingkap yang rosak, paip yang bocor dan sebagainya.
Bagi yang membeli rumah subsale, ini dapat dijadikan senjata untuk anda berunding harga dengan tuan rumah. Bagi yang membeli rumah baru siap pula, setiap kecacatan dalam rumah ini akan dibaiki oleh pemaju sebelum anda berpindah masuk.
8. Tak Memahami Dokumen SPA
Kalau anda ada masalah dalam memahami terma-terma serta syarat perjanjian yang terdapat dalam dokumen pembelian rumah, waktu inilah anda perlu gunakan khidmat peguam anda itu. Lagipun anda telah membuat bayaran untuk perkhidmatan mereka.
Jadi jangan malu untuk bertanya. Ini bagi mengelakkan terdapat sebarang masalah atau pertikaian di kemudian hari.
9. Tak Simpan Salinan Dokumen Yang Berkenaan
Bila dah tandatangani perjanjian pembelian rumah itu, anda akan mendapat salinan dokumen perjanjian tersebut. Jangan pula buang dokumen tersebut merata-rata. Simpan di tempat selamat.
Dokumen ini mungkin akan digunakan pada masa hadapan jika terdapat apa-apa urusan yang berkaitan dengan rumah tersebut.
10. Tak Buat Follow-Up Dengan Pihak Bank Dan Peguam
Anda dinasihatkan untuk sentiasa membuat follow-up dengan pihak bank dan juga peguam anda sehinggalah anda menerima kunci. Ini penting bagi memastikan anda sentiasa tahu tentang perkembangan pembelian rumah tersebut.
Ada kalanya juga kita boleh dikenakan penalti sekiranya lambat menyelesaikan urusan pembelian rumah.
Diharapkan perkongsian serba ringkas ini dapat membantu anda supaya tidak menyesal di kemudian hari.
Sumber : MajalahLabur.com
Artikel asal diterbitkan di laman sesawang Majalah Labur. Untuk membaca artikel asal, sila klik pautan ini :