Jenis-jenis Hak Milik Yang Anda Perlu Tahu

Apa Itu Geran Rumah?


‘Geran rumah’ merujuk kepada dokumen yang memaparkan ciri-ciri hakmilik tanah anda. Dalam bahasa Inggeris, perkataan geran disebut sebagai “title”. Geran rumah ini sangatlah penting kerana ia merangkumi pelbagai proses yang berkenaan dengan pembelian, pemilikan, dan penjualan rumah.

Geran rumah datang dalam format-format berbeza yang bergantung kepada jenis bangunan yang anda beli sebagai rumah dan juga jenis hakmilik tanah bangunan tersebut.

3 jenis pemilikan hartanah yang ada di Malaysia

  1. Hak Milik Induk

Diberikan di bawah geran besar/induk yang hanya ada satu nama, dan selalunya di bawah nama pemaju.

Bermakna, bidang tanah yang sedang digunakan untuk membina rumah teres ataupun pangsapuri belum dipecahkan mengikut lot.

2. Hak Milik Individu


Merujuk kepada pemilikan hartanah secara individu. Ia adalah satu dokumen hakmilik individu bagi setiap lot bangunan yang dibina di atas sesuatu tanah, atau juga dipanggil sebagai geran individu.

Dalam erti kata lain, unit hartanah yang dibeli tidak dikongsi dengan orang lain.

3. Hakmilik Strata

Satu dokumen hakmilik yang dikeluarkan untuk setiap unit (petak) bagi sesebuah bangunan yang mempunyai dua tingkat atau lebih, yang dibina di atas sesuatu tanah.

Contohnya macam rumah pangsa, kondominium, kompleks komersial, townhouse atau rumah kedai.


Untuk perbandingan yang lebih jelas lagi, anda boleh lihat ciri-ciri jenis pemilikan hartanah di bawah ini:

Hakmilik Induk
(Master Title)
• Dikeluarkan kepada pemaju pada permulaan
pembinaan.

• Meliputi kawasan projek yang lengkap.

• Termasuk semua kawasan umum dan yang dikongsi.

• Akan dibahagikan kepada sub-bahagian, samada melalui pemilikan Strata atau Individu.
Hakmilik Individu
(Individual Title)
• Merupakan sub-bahagian daripada Hakmilik Induk.

• Jenis pemilikan untuk hartanah individu.

• Biasanya dikeluarkan untuk pemilikan hartanah secara tunggal.

• Agak cepat dikeluarkan.
Hakmilik Strata
(Strata Title)
• Merupakan sub-bahagian daripada Hakmilik Induk.

• Jenis pemilikan hartanah Strata merupakan pemilikan
sebahagian daripada pembangunan yang dikongsi.

• Kebiasaannya dikeluarkan untuk bangunan bertingkat seperti rumah kedai, pangsapuri, kondominium dan lain lain.

• Juga digunakan untuk rumah individu dalam pembangunan yang dikongsi seperti townhouse.

• Pemilik mempunyai kewajipan untuk penyelenggaraan bersama

• Kadang-kala lebih perlahan untuk dikeluarkan

Hak & Tanggungjawab Pemilik Petak Strata

Sebagai pemilik petak, anda mempunyai hak-hak ni:

  • Menjalankan sebarang urusniaga seperti memajak, menggadai, memecah atau menyatukan petak (hanya yang dimiliki), dan memindah milik.
  • Mengundi dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) oleh Perbadanan Pengurusan.
  • Hak atas harta bersama mengikut unit syer yang diperuntukkan.
  • Hak untuk sokongan dan perkhidmatan am seperti bekalan air dan elektrik, pungutan sampah, pembentungan, perparitan, dan lain-lain.
  • Meneliti rekod dan akaun Perbadanan Pengurusan untuk mengelakkan sebarang penipuan dana.

Tapi bukan setakat nikmat saja, anda juga mempunyai tanggungjawab sebagai pemilik petak!

  • Membayar caruman kumpulan wang pengurusan yang merangkumi yuran pengurusan, premium insurans kebakaran, akaun khas.
  • Mematuhi undang-undang kecil.
  • Menghadiri AGM dan Mesyuarat Agung Luar Biasa.
  • Mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan berhubungan petak yang dimiliki.

Untuk memastikan kawasan kediaman sentiasa selamat dan bersih. Pemilik petak dilarang:

  • Menggunakan petaknya untuk kegiatan atau perbuatan yang salah di sisi undang-undang.
  • Menggunakan sebarang bahan api yang berasap atau berbau busuk.
  • Membuang sampah atau membuat kotoran di kawasan harta bersama.
  • Memelihara binatang (dalam petaknya) yang boleh menimbulkan kemarahan pemilik petak lain.

Kenali Petak Aksesori & Harta Bersama


Petak aksesori merupakan petak lain yang hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh pemilik petak tersebut. Contohnya, tempat letak kereta yang khas didaftar untuk pemilik petak itu.


Harta bersama merujuk kepada harta ataupun bahagian lot yang tidak berada dalam mana-mana petak. Contohnya, lif dan tangga, tempat letak kereta pelawat, pondok pegawai keselamatan.

Join The Discussion

Compare listings

Compare