Apabila seseorang itu sudah mula meningkat ke alam dewasa, pasti muncul di dalam kotak fikirannya mahu memiliki rumah sendiri bukan? Semua orang tidak terkecuali memasang impian memiliki rumah sendiri, namun, untuk membuat keputusan dalam membeli rumah pertama bukanlah semudah yang disangkakan.
Pelbagai faktor perlu anda ambil kira dalam pembelian rumah contohnya, anda perlu tahu jenis rumah apa yang anda inginkan. Sebelum anda membuat kajian tentang rumah idaman anda, pastinya anda terfikir adakah anda mahu membeli rumah subsale atau rumah baru?
Sekiranya anda mahu memilih rumah subsale sebagai rumah pertama, apakah anda rasa ianya satu keputusan yang tepat? Adakah anda sudah mengambil kira beberapa faktor lain seperti lokasi rumah atau tempoh masa yang diperlukan sebelum rumah tersebut menjadi milik anda? Berbaloikah pilihan anda ini?
Secara amnya, rumah subsale atau sekunder ialah rumah yang dibeli melalui pemilik sedia ada. Manakala, yang dimaksudkan dengan rumah baru ialah rumah yang belum dimiliki oleh orang lain kerana ianya baru disiapkan dan rumah undercon adalah rumah yang sedang dalam pembinaan oleh pihak pemaju.
Di dalam proses pembelian rumah subsale atau sekunder, akan berlaku proses tawar-menawar harga rumah asal dengan pemilik rumah tersebut jika dibandingkan dengan pembelian rumah baru yang dibina oleh pemaju.
Untuk anda yang pertama kali ingin membeli rumah dan ingin menjadikan rumah subsale sebagai rumah pertama anda, terdapat beberapa perkara penting yang anda perlu cakna terlebih dahulu antaranya ialah kelebihan dan kekurangan rumah subsale.
Di sini kami akan kongsikan beberapa aspek penting yang mungkin boleh membantu anda membuat proses penilaian dalam pembelian rumah pertama dan seterusnya membantu anda membuat keputusan yang tepat.
Di dalam kupasan artikel ini, terdapat perbandingan kelebihan dan kekurangan rumah subsale yang anda perlu tahu.
Kelebihan Rumah Subsale
- Boleh menilai kawasan persekitaran rumah
Pembeli rumah subsale mempunyai kelebihan untuk menilai kawasan persekitaran rumah. Sebagai contoh, anda boleh membuat penilaian dari segi kemudahan yang ada berdekatan dengan rumah, persekitaran kejiranan serta kematangan jiran dan susun atur kawasan perumahan itu sendiri.
Selain itu juga, anda perlu memeriksa indeks jenayah di kawasan tersebut. Dengan adanya kelebihan ini, anda dapat membuat pilihan yang tepat untuk memilih lokasi yang strategik bagi rumah pertama anda.
- Dapat mengenal pasti kerosakan rumah terlebih dahulu
Seperti yang anda tahu, setiap rumah akan mencapai tempoh kematangan yang tersendiri, lagi-lagi sekiranya rumah itu adalah rumah subsale. Jadi, amat penting untuk anda memeriksa setiap ruang sudut rumah ketika melakukan tinjauan ke rumah tersebut.
Perkara penting yang anda perlu periksa adalah struktur rumah seperti dinding dan bumbung. Kadangkala, rumah subsale akan mempunyai keretakan dinding, kebocoran di syiling dan masalah bekalan air di kawasan tersebut.
- Tiada tempoh menunggu untuk mendapatkan rumah
Untungnya rumah subsale ini, anda tidak perlu menanggung risiko rumah tidak siap atau dalam erti kata yang lain ialah terbengkalai. Seusai sahaja proses pembelian rumah selesai, anda terus diberikan kunci rumah oleh pemilik asal rumah tanpa perlu menunggu masa yang lama.
- Boleh tawar-menawar harga
Harga bagi rumah subsale kadang kala agak tinggi berbanding rumah-rumah yang lain. Walau bagaimanapun, anda tetap diberi keistimewaan untuk membuat rundingan harga iaitu tawar menawar dengan pemilik asal rumah tersebut. Jika kena dengan cara perundingan, anda boleh mendapatkan rumah tersebut dibawah harga pasaran dan bersesuaian dengan bajet yang anda sediakan.
Kekurangan Rumah Subsale
1. Wang pendahuluan yang tinggi
Anda pasti tahu sekiranya anda membeli rumah yang sedang dibina atau rumah baru, kos permulaan yang ditanggung adalah rendah. Berbeza dengan rumah subsale, anda perlu menyediakan dalam anggaran 15% sehingga 30% daripada harga rumah sebagai deposit pendahuluan.
Tidak dilupakan juga, ada beberapa kos tersembunyi yang terlibat seperti duit setem, kos mendapatkan loan rumah, kos guaman dan sebagainya.
2. Reka bentuk dan teknologi pembinaan rumah ketinggalan zaman
Saban tahun pasti akan timbul rekaan-rekaan rumah yang baru mengikut peredaran masa. Sebagai contoh, rekaan rumah terkini lebih menjurus kepada konsep yang lebih terbuka dan minimalis. Jadi, rekaan sebegini amatlah berbeza dengan rekaan rumah yang dibina puluhan tahun kebelakang.
Malahan teknologi pembinaan juga turut berbeza jika dibandingkan dengan sekarang contohnya seperti sistem IBS yang digunakan di rumah baru tidak digunakan di rumah yang telah lama dibina. Oleh sebab itu, ia amatlah penting untuk anda menilai dan mengkaji sesebuah rumah subsale agar ia dapat memenuhi citarasa anda.
3. Perlukan wang yang banyak untuk modifikasi rumah
Tidak dilupakan juga, kebanyakan rumah subsale memerlukan modifikasi bergantung kepada tahun dan keadaan rumah yang anda beli. Pengubahsuaian rumah juga mungkin memerlukan tenaga kerja dan wang yang banyak untuk menjadikan rumah tersebut sebagai rumah kediaman anda. Tidak dapat dinafikan, kebiasaanya major renovation juga perlu dilakukan oleh pemilik kediaman lebih-lebih lagi jika rumah yang dibeli tersebut telah dimakan usia dan terdapat kerosakan padanya seperti ada masalah anai-anai, reput dan sebagainya.
4. Setiap kerosakan tidak boleh dituntut dengan tuan rumah yang asal
Sekiranya anda membeli hartanah daripada pasaran sekunder atau rumah subsale, anda tidak akan menerima waranti liabiliti kecacatan daripada pihak pemaju yang membolehkan anda meminta pemaju untuk membaiki apa-apa kerosakan pada rumah tanpa dikenakan caj. Anda juga tidak boleh menuntut apa-apa bayaran daripada tuan rumah yang asal sekiranya terdapat kerosakan pada rumah tersebut.
Hal ini kerana, hartanah tersebut telah dibeli dalam sedia ada, maka ia bermaksud pembeli telah bersetuju untuk membeli rumah tersebut dalam apa keadaan sekalipun walaupun terdapat kerosakan yang jelas ataupun tidak.
Jadi, kesimpulannya berbaloi atau tidak menjadikan rumah subsale sebagai rumah pertama anda adalah bergantung kepada penilaian anda sendiri. Untuk menjadikan rumah subsale sebagai rumah pertama anda, pelbagai faktor perlu diambil kira supaya pembelian hartanah pertama anda menjadi satu pelaburan yang bijak.
Selain daripada itu, anda perlu mengelakkan sikap terburu-buru serta melakukan penelitian yang terperinci sebelum membuat keputusan untuk membeli hartanah daripada pasaran sekunder ini bagi mengelakkan kerugian pada masa akan datang.
Sumber : MajalahLabur.com
Artikel asal diterbitkan di laman sesawang Majalah Labur. Untuk membaca artikel asal, sila klik pautan ini :